MRT Corp anugerah kontrak RM1.23b bina 6 stesen
6 November 2017

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) sudah menganugerahkan semua pakej kerja pembinaan enam stesen bertingkat bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dengan nilai RM1.23 bilion.

Pakej kerja bagi enam stesen bertingkat itu dianugerahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti (OSPC) yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada September dan Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata semua pakej kerja stesen projek itu adalah subkontrak yang dipilih di bawah pakej jejambat masing-masing.

Beliau berkata, penender yang berjaya dipilih berdasarkan penilaian tender terbaik, iaitu tender dinilai berdasarkan penilaian teknikal, komersial, perundangan, kewangan dan penilaian Program Kerjasama Industri.

“Ada antara syarikat itu sudah bersama kami sejak dari Laluan Sungai Buloh-Kajang lagi. Bagi syarikat yang baharu menyertai kami, projek MRT Lembah Klang menetapkan penanda aras yang tinggi dalam industri pembinaan.

“Syarikat terbabit perlu menjalankan tugas dengan panduan dari MRT Corp dan rakan pelaksana projek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakej kerja pembinaan yang dianugerahkan itu adalah bagi pembinaan dan penyiapan stesen bertingkat serta kerja lain yang berkaitan di Kuchai Lama dan Taman Naga Emas kepada WTC Bhd dengan nilai tender RM199.5 juta.

Apex Communication Sdn Bhd pula memperoleh tender RM243.34 juta untuk pakej kerja pembinaan stesen bertingkat di Sungai Besi dan Serdang Raya Utara; Ahmad Zaki Sdn Bhd untuk pakej kerja pembinaan stesen Serdang Raya Selatan, Seri Kembangan dan UPM dengan nilai tender RM288.47 juta.

Selain itu, pakej kerja pembinaan dan penyiapan stesen bertingkat serta kerja lain yang berkaitan turut dianugerahkan kepada S. N. Akmida Sdn Bhd (RM219.7 juta), Acre Works Sdn Bhd (RM137.9 juta) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (RM145.8 juta).

Sementara itu, Global Rail Dom Industries Joint Venture memperoleh RM39.8 juta untuk reka bentuk, pembekalan dan perkara berkaitan untuk stesen bertingkat, manakala Rani-MS Engineering Sdn Bhd untuk pembekalan, pengujian dan pentauliahan sistem lif dan eskalator (RM73.38 juta).

Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 September tahun lalu, fasa pertama laluan SSP akan mula beroperasi pada Julai 2021 dan dijangka siap pada Julai 2022.

— First published in Berita Harian

Learn more about the project